Cikgu, coretan dibawah ini saya tintakan sejak tahun 2007 lagi. Pada waktu itu saya berada ditingkatan 5. Ianya merupakan monolog ku sewaktu menjalankan tugas sebagai seorang pengawas sekolah.
**********************
Uniform biru
Aku seorang pelajar. Aku memegang amanah. Amanah yang diberikan oleh mama dan papa ku, supaya ke sekolah untuk menjadi orang yang bertaqwa. Aku juga memegang amanah supaya menjadi mata dan telinga guru disekolah. Berbeza dengan rakan-rakan lain, aku dengan uniform biruku setiap hari untuk melakukan tugas bagi memastikan rutin pelajar di sekolah dapat dilaksanakan dengan baik. Setiap minggu, ada sajalah tugasan-tugasan luar bilik darjah yang perlu aku laksanakan. Mungkin pada minggu ini aku akan kelihatan berada di tempat parking, pintu pagar atau di kantin. Dengan sebagai ranger bagi melicinkan pentadbiran di tempat menuntut ilmu yang mulia ini, SMT Besut. Aku mungkin dikenali sebagai ‘orang yang sibuk’ dikalangan guru-guru, atau rakan-rakanku. Aku tidak pernah bangga atau terasa dengan panggilan sedemikian, namun jauh disudut hatiku, aku juga ingin menjadi seperti pelajar yang lain, tidak perlu memikirkan tentang amanah yang diwatikahkan seperti aku ini. Kadangkala, aku berasa ingin lari daripada urusan-urusan yang langsung tiada kaitan dari pelajaran seperti ini. Aku juga ingin lari daripada semua perkara-perkara yang langsung tiada kaitan untuk masa depanku ini. Namun, aku bukanlah seorang yang suka lari daripada masalah, bukan seorang yang pengecut atau bacul untuk berhadapan dengan perkara sebegini. Ya Allah, tabahkanlah hati dan kuatkanlah mentalku bagi menghadapi hari-hariku dengan tiada halangan dan ringankanlah ujianMu terhadapku, Ya Allah. Mungkin aku kelihatan bersahaja dengan semua urusan-urusan yang diamanahkan kepadaku ini. Di asrama mahupun di sekolah, aku tetap dengan jawatan yang dipegang sejak awal tahun lagi. Aku juga manusia biasa, juga mempunyai masalah dan kadangkala, melakukan kesilapan. Aku mengaku khilafku.
Pagi ini, aku tidak bersarapan pagi kerana aku agak lewat untuk bangkit dari tidur. Keadaan hujan yang boleh tahan juga lebatnya, aku cuba untuk ke tempat tugasanku, iaitu ke pintu pagar sekolah. Namun, hujan bertambah lebat. Dengan sepenuh kudrat yang ada aku berkejar ke arah tempat aku bertugas pada minggu ini. Pakaian ku habis kuyup, mungkin buku-buku yang digalas ini juga basah. Sampai di sana aku cuba untuk memastikan rakan-rakan setugasku telah berada disana. Tidak seorang pun yang kelihatan yang beruniform sepertiku. Nampaknya semua rakan sekerjaku tidak dapat hadir Yang ada hanyalah pelajar-pelajar yang berteduh di Dataran Minda Pelajar dan guru yang sering memantau kerjaku, iaitu guru disiplin sekolahku. Aku memberitahunya bahawa keadaan tidak mengizinkan, tetapi aku diherdik dan dihina oleh guru itu kerana lambat untuk ke tempat bertugas seperti yang dijadualkan. Guru, tidak pernahkah engkau memahami perasan pelajar yang memakai uniform sepertiku ini. Ini bukanlah pertama kali engkau bersikap sedemikian. Hari ini aku belajar dengan perasaan yang bercampur baur. Aku tidak dapat menumpukan sepenuhnya pelajaranku pada hari ini. Beginilah keadaan ku setiap kali jika ada perkara yang tidak kena dengan anginku. Aku perlu hadapi semua ini. Aku tidak boleh kalah dengan semangatku. Semangat kepahlawanan datuk moyangku yang mengalir patut tidak pernah gentar dengan cabaran kecil sebegini. Aku tidak boleh kecundang kerana uniform biru ini. Ini bukanlah sebab untuk kemalapan masa depanku. Aku harus ingat kepada tuhan dan ibu bapaku, tentang janji yang perlu aku tunaikan. Aku harus menjadi orang yang berwawasan. Aku bukan pengalah. Aku perlu menjadi yang terbaik. Bukan sahaja terbaik dalam keluargaku, malahan terbaik dikalangan rakan-rakan ku. Tuhan, bantulah aku dalam menghadapi hidup yang penuh dengan obstikal seperti ini, Amin.
Kadang-kadang tidak semua orang akan memahami apa yang kita niatkan. Itulah lumrah kehidupan.
**********************
Jikalau Cikgu membaca post ini. Saya ingin memohon maaf kepadamu wahai guruku. Walaupun engkau tidak pernah mengajarku, namun aku sentiasa mengenangmu kerana engkau adalah salah seorang yang berjaya membentuk aku ketahap yang lebih baik. Aku sangat berbangga denganmu. Jauh sekali untuk menyimpan dendam kepadamu. Sejak kita berkenalan pada tahun 2006. Aku sudah tahu bahawa engkau adalah seorang yang berwawasan. Aku tahu engkau mahukan yang terbaik untuk ku dan rakan-rakanku yang lain. Engkau tabah melayan kerenah kami semua dengan baik. Tabah dalam mendidik kami supaya lebih matang. Aku sangat kagum denganmu. Namun, sejak daripada kejadian pada hari itu, aku berkecil hati dengan mu wahai guru. Dan akhirnya sebelum aku meninggalkan sekolah, aku mengerti bahawa aku tidak layak untuk menghukum mu. Aku sendiri tidak faham kenapa harus aku berperasaan sedemikian. Akhirnya, sebelum peperiksaan SPM bermula, aku berpeluang memelukmu sewaktu di Majlis Restu Ilmu. Aku berpeluang untuk meminta maaf denganmu wahai guru. Bukan kepalangnya gembira aku pada waktu itu. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa gembiranya aku pada hari tersebut.
Guruku, sekali lagi, aku ingin memohon maaf kepadamu. Halalkan ilmu dan maafkan lah dosaku terhadapmu, cikgu. Semoga kita dapat bertemu lagi suatu hari nanti, insyallah. Doakan lah kejayaanku, wahai guruku yang tersayang. Teruskanlah perjuanganmu untuk membentuk anak bangsa.

No comments:
Post a Comment